JULAI 2022

Pelabuhan Laut Dalam Tg Embang Pada Peringkat Kajian


ANTWERP (Belgium): Kerajaan Sarawak sedang membuat kajian untuk membina sebuah pelabuhan laut dalam baharu bagi kawasan selatan Sarawak dengan termeterainya Perjanjian  Persefahaman (MOU) antara Pelabuhan Antwerp-Bruges dan pihak swasta dari Sarawak pada Selasa di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg telah menyaksikan majlis menandatangani MOU tersebut bagi cadangan membangunkan Pelabuhan Tanjung Embang di muara Sg. Sarawak dekat Kuching secara kerjasama antara Pelabuhan Antwerp dan Hubline Bhd.

Pelabuhan Antwerp merupakan pelabuhan kontena antarabangsa kedua terbesar di Eropah dan ke-14 di peringkat dunia sementara Hubline adalah syarikat tempatan yang terlibat dalam perkhidmatan logistik perkapalan secara pukal.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari dalam ucapan beliau sempena majlis menandatangani perjanjian tersebut melahirkan keyakinan penerapan inovasi terkini dalam pengurusan dan perkhidmatan pelabuhan akan memberi kelebihan kepada pelabuhan ini nanti sebagai sebuah pelabuhan yang cekap dengan kos yang murah. 

“Jika semuanya (inovasi dan teknologi) sudah ada, para pelabur sudah ada keyakinan, saya yakin pelabuhan ini nanti akan mempunyai kelebihan untuk berkembang maju,” ujar beliau. 

Beliau  menyatakan pada awal Julai, beliau telah berada di Singapura untuk menghadiri taklimat oleh pihak juru perunding mengenai impak sosio-ekonomi projek tersebut yang melibatkan kawasan seluas 109 km persegi.

Keseluruhan semenanjung Tg Embang akan dibangunkan oleh Kumpulan ASSAR, sebuah syarikat induk pelaburan milik penuh kerajaan Sarawak, kata beliau. 

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel pada taklimat sebelum majlis tersebut menyatakan pelabuhan yang berkonsepkan integrasi dengan pembangunan industri merupakan salah satu daripada dua pelabuhan laut dalam yang akan dibangunkan di bawah Pelan Strategik Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Sebuah lagi pelabuhan akan dibangunankan di kawasan utara Sarawak sebagai sebahagian daripada program untuk memulih dan memangkin pertumbuhan ekonomi Sarawak pasca COVID-19, ujar beliau.

Pada majlis menandatangani MOU tersebut Hubline diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hudson Chua dan Pelabuhan Antwerp-Bruges oleh Pengarah Urusan Kristoff Waterschoot. 

Setiba di Pelabuhan Antwerp-Bruges, Premier Sarawak dan rombongan telah diberi taklimat mengenai pembangunan dan operasi pelabuhan oleh pegawai pelabuhan tersebut.

Kemudian, beliau telah mengadakan kunjungan kehormat terhadap Menteri-Presiden Flanders bagi Kawasan Flemish, Jan Jambon,

Hadir bersama Timbalan Premier, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi dan Duta Malaysia ke Belgium dan Luxembourg, Dato’ Dato’ Ahmad Rozian Abd Ghani. 

Terdahulu pada pagi Selasa Premier Sarawak telah menyaksikan majlis serupa antara Kerajaan Sarawak dan Melexis Technology untuk merintis kerjasama dalam pembangunan reka bentuk cip mikro yang diintegrasikan (integrated micro-chip) bagi cip-cip yang dihasilkan di Sarawak.

Sumber dari : Sarawakku